Wednesday, October 8, 2008

Kisah Misteri Kaki Joran~

Beruk gergasi kaut ikan dalam bot

CERITA yang hendak dikongsi ini benar-benar berlaku ketika sekumpulan pemancing meneroka perairan Pulau Jerejak pada April 2003 lalu. Pada suatu malam selepas selesai mesyuarat di pejabat, penulis dan seorang rakan - Suhairi, singgah makan dan minum di sebuah gerai di Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Sambil berbual datang pula rakan baik kami seorang peguam. Uzair namanya.

Perbualan kami malam itu semakin rancak apabila kehadiran seorang lagi penduduk tempatan yang memperkenalkan diri sebagai Pak Long Din juga dari Bukit Mertajam. Topik malam ini bertambah menarik apabila tajuk cerita bertukar mengenai memancing. Pak Long Din orang yang paling menyerlah cerita pengalaman pasal ikan dan memancing.

Maka terjadilah perjanjian bersama Pak Long Din untuk keluar memancing di perairan Pulau Pinang seperti yang diceritakan. Masa yang ditunggu tiba. Maka bermula operasi kami dengan menaiki bot Pak Long Din di Batu Maung, Pulau Pinang. Kumpulan kami - Suhairi, Uzair dan penulis.

Jam tangan menunjukkan hampir jam 11 malam. Di lokasi pertama tiada sambutan memberangsangkan. Hanya anak kerapu dan gelama saja. Oleh kerana kurang yakin, Pak Long Din mengubah haluan ke lokasi Pulau Jerejak. Di perairan pulau berkenaan sambutannya juga hambar. Pak Long Din mulai tercabar dan agak malu dan apa yang digebangkan pada hari itu tidak menjadi.

Kami bertukar tempat lagi. Kali ini tidak jauh dari lokasi kedua tadi. Di lokasi ini agak menarik. Terdapat dua batu besar yang hampir tenggelam di pinggir Pulau Jerjak. Di sini barulah ada keyakinan sedikit. Ikan lapar agaknya. Kami tidak jemu melayan sentapan yang agak besar seperti kerapu, jenahak dan sebagainya. Pak Long Din tersenyum puas. Rasa malunya kian hilang. Apatah lagi beliau menaikkan pari hampir 15 kilogram dan hanya menggunakan tali koyan saja. Manakala Suhairi tidak henti-henti memutar kekili pancingnya sambil berteriak kegirangan.

Dalam keghairahan, Uzair tiba-tiba terpandang sesuatu lantas mencuit bahu penulis lalu bertanya: “Kau nampak sesuatu tadi?”

Sambil dia menunjukkan ke arah batu besar yang berdekatan dengan bot kami. Lantas penulis menjawab: “Aku tahu, tapi jangan bising. Diam sajalah”.

Beliau bertanya lagi: “Macam mana ada orang duduk atas batu tu. Macam mana dia panjat batu tu?”

Penulis cuba menenangkan fikirannya dengan memberitahu mungkin ada nelayan tempatan menunggu pukat yang dipasang dan datang dengan bot sendiri.

Kelibat orang di atas batu itu amat nyata seolah-olah sedang menghisap rokok. Pak Long Din merasainya dengan apa yang penulis beritahu dan mengakui dengan soalan Uzair, cuma mereka buat selamba saja.

Tiba-tiba kelibat orang itu hilang daripada pandangan. Penulis mulai cuak dan risau. Sementara itu, Suhairi tidak henti-henti menaikkan ikan sambil bergurau. “Hoi.... kau orang tengok ni.... Jenahak besar...,” katanya.

Penulis dan Uzair hanya senyum tawar.

Tiba-tiba Uzair bersuara: “Syok la... nanti naik hantu air baru padan muka...”

Penulis dan Pak Long Din tersentak dengan gurauan Uzair.

Tidak lama kemudian perkara pelik berlaku apabila hasil tangkapan Suhairi hilang satu persatu dari atas bot. Lantas beliau bersuara: “Siapa pulak sapu ikan aku ni...!”

Kemudian Pak Long Din bersuara: “Kamu duduk diam-diam... dia datang dah...”

Kami kehairanan. Kemudian bot kami rasa terumbang ambing seperti ada orang memanjatnya. Tiba-tiba wajah seekor berok berbulu tebal dengan sepasang mata yang merah berada atas bot . Penulis, Uzair dan Suhairi kecut perut dan seperti hendak pengsan. Suhairi terkencing dalam seluar. Apa boleh buat, kerana dia terlalu takut. Lembaga berkenaan merayap dengan menghulurkan tangannya yang panjang mengambil ikan kami.

Pak Long Din naik angin lalu bertempik dengan sekuat-kuatnya. Apa lagi meraunglah lembaga itu dan terjun ke laut berenang menuju ke Pulau Jerejak. Ketika lembaga berkenaan berada di pulau berkenaan suara jeritannya bergema hingga jelas kedengaran oleh kami dalam bot.

Hampir sejam menyepi, Pak Long Din menyambung semula aktivitinya selepas membelit semula ekor pari yang melibas badan lembaga tadi. Selepas itu, Pak Long Din menaikkan beberapa jenahak manakala kami yang sudah hilang semangat duduk berehat saja. Selepas itu kami pulang ke Jeti Batu Maung. Dalam perjalanan pulang Pak Long Din menceritakan semuanya supaya kami faham.

Kelibat orang di atas batu itu bukanlah manusia cuma penunggu pulau. Lembaga seiras dengan beruk pula adalah jelmaan syaitan dan iblis untuk mengganggu.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Puteri Bunian temani Pak Su nus tidur


MASYARAKAT dulu, terutama yang tinggal di pedalaman begitu taksub dengan kepercayaan karut-marut. Antaranya fobia dengan bulan mengambang. Kehadiran bulan yang melimpahkan cahaya di segenap alam itu dikaitkan dengan beberapa kejadian berunsur tahyul. Kenapa ini boleh berlaku? Apakah minda mereka terpenjara dengan lakonan syaitan?

Tetapi lain pula halnya dengan tiga sahabat iaitu Pak Ngah Rushi, Pawang Suhud dan Pak Su Nus. Mereka gemar menjala ikan pada waktu malam. Hobi sebegini yang tidak disenangi penduduk kampung.

Pendirian mereka jelas. Mereka tidak mudah percaya dengan kepercayaan yang tidak berpijak di bumi nyata. Mereka tidak mahu menjadi hamba kepada iblis dan syaitan! Cuma Allah saja tempat berlindung dan memohon pertolongan. Syirik berkiblatkan yang lain! Itu pegangan hidup tiga sahabat berkenaan.

Paling berpengalaman, Pawang Suhud (sudah meninggal dunia), rakan baik tiga serangkai ini menjadikan Sungai Lipis dekat Benta, Pahang sebagai lokasi menjala ikan. Anehnya, mereka tidak gemar menjala pada waktu siang, sebaliknya waktu malam menjadi pilihan, terutama ketika bulan mengambang.

Kisah menarik dialami tiga rakan ini berlaku pada awal 60-an. Sudah melewati setengah abad namun Pak Ngah Rushi yang kini berusia 70 tahun masih boleh mengingati peristiwa paling aneh pernah ditempuhinya itu.

Pak Ngah Rushi yang pada masa itu tinggal dan berkerja di Ladang Budu mengenali Pawang Suhud agak lama juga. Kalau bukan kerana Pawang Suhud seorang pengusaha gula kabung di Kampung Peruang, sudah tentu mereka tidak mengenali antara satu sama lain.

“Kebiasaannya, musim kemarau dan waktu malam menjadi pilihan kami meredah sungai berkenaan mencari ikan. Bagaikan terkena candu, kami tidak senang duduk jika tidak menjala di sungai itu apatah lagi ketika bulan penuh.

“Hasil tangkapan berbaloi ketika musim kemarau melanda daerah Kuala Lipis agak lama. Ini membuatkan kami kemaruk hingga sanggup bermalam di tepi sungai berkenaan,” kata Pak Ngah Rushi.

Pak Ngah Rushi yang kini kembali menetap di Semeling, Kedah setelah pernah merantau di Benta selama hampir 10 tahun berkata, lokasi sekitar Jeram Besu terkenal dengan ikan seperti kenerap, sebarau, kaloi, baung dan tengas kerana arusnya agak deras selain berbatu.

Beliau yang masih sihat penglihatan dan pendengaran terus bercerita mengenai pengalaman menjala ikan bersama Pawang Suhud dan Pak Su Nus (juga sudah meninggal). Pawang Suhud dan Pak Su Nus yang tinggal di Kampung Peruang sanggup berjalan kaki sejauh kira-kira 6 kilometer kerana ketika itu belum ada jalan raya dibina di kampung berkenaan.

Tanpa menggunakan lampu suluh (kerana bulan mengambang), tiga rakan baik itu rancak menebar jala di lokasi yang paras airnya hanya paras lutut. Sesekali suasana hening terhibur dengan kesayuan suara burung pungguk. Hingga jam melepasi 10 malam, hasil tangkapan diperoleh lebih daripada cukup untuk dimakan. Ketika berehat seketika di tebing sungai sambil menghirup kopi o dan menghisap rokok daun, mereka disapa seorang lelaki separuh usia ditemani isterinya menjinjing jala menghala ke arah hulu sungai.

Mengesyaki sepasang suami isteri itu mungkin penduduk kampung berdekatan, tiga sahabat terbabit tidak menghiraukan mereka berlalu dari situ. Mereka terus menghirup kopi o yang dicicah biskut kering untuk mengalas perut.

Ketika Pak Ngah Rushi cuba menanggalkan jala yang tersangkut di celah batu, dia terpandang beberapa biji limau purut terapung di suatu kawasan yang airnya agak tenang.

“Pawang Suhud yang sememangnya arif dengan perkara misteri mengarahkan kami buat tak tahu saja sambil kami menjejak dari arah mana buah itu hanyut.

“Ketika sampai di suatu jeram yang airnya kurang deras, pak cik teruja apabila melihat kawasan itu diterangi cahaya kerdipan kelip-kelip dalam bilangan yang amat banyak. Dalam suasana hening diterangi bulan purnama, kawasan itu terserlah indah hingga membuatkan kami seakan terpukau menyaksikan fenomena aneh itu.

“Pawang Suhud yang dapat menerima isyarat fenomena menakjubkan itu sekali lagi mengarahkan kami berdiam diri sambil memerhatikan perkembangan seterusnya,” cerita Pak Ngah Rushi lagi.

Selama hampir setengah jam mereka memerhatikan kejadian itu, pelbagai perkara pelik seperti terhidu bau sabun mandi, air mengalir berbuih dan wangian semerbak menerjah ruang persekitaran.

Lebih teruja , kata Pak Ngah Rushi lagi ialah apabila Pak Su Nus ternampak kelibat beberapa gadis berkemban menyelinap di sebalik batu besar. Yang menghairankan, kemunculan gadis itu dalam beberapa saat hanya dapat dilihat Pak Su Nus.

Bimbang kehadiran mereka disedari makhluk halus itu, penjala diketuai Pawang Suhud itu beredar semula ke khemah pisang sesikat yang didirikan kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Kejadian aneh tidak hanya berkesudahan di lokasi jeram kelip-kelip itu. Pada malam itu, dalam keadaan antara terlelap dan jaga, Pak Su Nus yang tersentuh badan Pawang Suhud yang sasa terasa lembut dan gebu. Bahagian muka orang tua itu juga terasa lembut, tiada misai dan janggut.

Pawang Suhud yang terjaga lantaran tindakan Pak Su Nus seperti mengigau itu kehairanan lantas mengejutkannya. Apabila terjaga, wajah Pawang Suhud direnung Pak Su Nus agak lama tapi kemudian kembali tidur.

Keesokan harinya selepas sarapan, Pak Su Nus menceritakan apa yang dialami pada malam itu. Sama ada realiti atau gangguan perasaan, Pak Su Nus menceritakan dia didatangi seorang gadis cantik lalu berbaring di sebelahnya.

Untuk tidak mahu dia dipersendakan, Pak Su Nus yang lurus bendul itu menunjukkan sekuntum bunga raya merah muda dijumpai dalam poket seluarnya. Siapa yang memberi dan meletakkan bunga dalam poket seluar orang tua itu?

Pengalaman diketemukan jeram kelip-kelip dipercayai tempat puteri bunian mandi itu dijadikan iktibar Pak Ngah Rushi. Ketaksuban masyarakat zaman dulu terhadap perkara yang gagal diselami akal manusia berasas kerana Allah turut mencipta makhluk lain selain manusia.

“Menurut fahaman orang tua dulu, bulan mengambang sering dikaitkan dengan kejadian menyeramkan seperti langsuir berkeliaran, anjing menyalak menandakan ternampak makhluk halus dan waktu digemari orang bunian atau pari-pari mandi di sungai atau air terjun,” kata Pak Ngah Rushi mengakhiri perbualan kami.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Hantu melolong dijambatan Kuala Sedili

AZMAN begitulah nama yang diberi oleh abah dan emak kepada abang saya yang lebih mesra kami panggil Itam saja. Itam anak ke-5 daripada sepuluh orang adik-beradik. Sewaktu bersekolah rendah, saya, Itam serta adik-beradik yang lain suka merayap di kawasan paya dan hutan berhampiran kampung kami, pergi memancing ikan. Masa itu sekitar tahun 70-an, masih banyak lagi ikan seperti haruan, putih, terbol, keli dan lain-lain dalam paya atau anak sungai tidak jauh dari rumah kediaman kami sekeluarga.

Hari berganti hari dan tahun berganti tahun, apabila kami mencapai umur dewasa dan berkeluarga, masing-masing sudah tinggal berjauhan bersama keluarga masing-masing. Itam masih meneruskan hobinya memancing dan boleh dikategorikan sebagai pemancing tegar. Bagaimanapun Itam hanya memancing ikan air masin di kawasan laut atau pulau, tepian pantai atau kuala sungai.

Dia tidak berapa suka memancing di darat kerana geli dengan pacat. Masa kami bersekolah dulu sebut saja hutan mana yang kami tak redah di sekitar kampung kami. Pacat dan lintah hanya menjadi mainan, tapi apabila dewasa saya masih minat memancing dalam hutan, di sungai atau di jeram. Itam pulak hanya suka memancing di tempat yang mudah untuk dikunjungi, naik bot atau di tepi-tepi pantai atau kuala sungai yang tidak memerlukan kudrat yang banyak.

Sepanjang penglibatannya dalam aktiviti memancing, Itam tidak pernah berhadapan atau mengalami peristiwa ganjil atau misteri. Cuma pada zaman kami bersekolah dulu banyak juga kenangan yang agak menakutkan berlaku semasa kami pergi memancing ikan. Kami pernah di kejar binatang liar seperti beruk, terserempak dengan ular tedung selar yang berditri tiga suku badan ketika memancing udang galah di Sungai Semangar dan sesat ketika mencari jalan untuk ke Sungai Sayong.

Bagaimanapun itu semua tak menjadi penghalang kepada kami untuk meneruskan hobi yang satu ini. Apabila datang rasa gian nak memancing, Itam sanggup pergi seorang diri walaupun waktu malam. Kadang-kadang apabila anaknya tak bersekolah, Itam akan membawa sekali anak ke-3 atau ke-4 beliau. Tapi selalunya Itam lebih banyak pergi seorang diri. Itam yang tinggal di Pasir Gudang, Johor, sanggup memandu seorang diri waktu malam menuju ke Kuala Sedili di Kota Tinggi, hanya untuk melepaskan giannya memancing. Bagaimanapun semenjak berlaku satu peristiwa yang menakutkan ini, Itam tidak lagi berani pergi memancing sejauh itu seorang diri lagi. Kejadian ini berlaku kira-kira dua tahun yang lalu.

Kisahnya begini, satu malam selepas Maghrib, Itam memandu keretanya seorang diri bersama kelengkapan memancing menuju ke Sungai Sedili Kecil dari rumahnya di Pasir Gudang. Sebenarnya ini bukan kali pertama Itam pergi ke kawasan itu memancing, masuk kali ini entah yang ke berapa kali. Kawasan Sungai Sedili Kecil itu terdapat sebuah jambatan yang menghubungkan Sedili Kecil dengan Sedili Besar. Di atas jambatan itulah Itam jadikan botnya memancing ikan sembilang, gemang, tetanda, siakap merah, gelama dan lain-lain.

Tiba di situ kira-kira jam 11 malam, Itam pun terus memasang joran berumpankan hirisan ikan ke dalam sungai Sedili Kecil yang mengalir di bawah jambatan. Kebetulan malam itu ada sekumpulan pemancing, memancing ikan di atas sebuah jeti kecil kira-kira 100 meter dari jambatan. Malam itu agak gelap, hanya suara mereka yang jelas kedengaran, Itam mengagak mungkin ada tiga atau empat orang sedang memancing di atas jeti itu.

Tiba-tiba Itam terdengar satu suara sayup-sayup di seberang sungai, suara itu tidak pernah di dengarnya selama ini, nak kata suara anjing bukan, suara burung pun bukan. Suara itu semakin lama semakin jelas seperti sedang melolong, seakan lolongan serigala. Suara itu bukan di atas darat tapi di udara! Serentak dengan bunyi aneh itu, tiba-tiba Itam terdengar kumpulan pemancing yang di atas jeti menjerit..

“Jangan kacau!...” Kemudian kumpulan pemancing itu bergegas masuk kereta dan.....brooom...bunyi enjin kereta mereka laju meninggalkan jeti kecil tempat mereka memancing. Itam tercengang kehairanan. Bunyi melolong yang didengar tadi sudah berada di jeti kecil tempat beberapa pemancing tadi. Tak lama kemudian bunyi melolong yang menyeramkan itu menuju ke tempat Itam sedang memancing di atas jambatan. Bunyi yang seakan-akan ketawa dan melolong itu betul-betul berada di atas pokok berhampiran jambatan itu.

Itam apa lagi terus menggulung pancing dan mencampaknya ke dalam but kereta yang sedia terbuka. Bunyi lolongan itu masih jelas kedengaran tapi entah apa bendanya Itam pun tak pasti..... yang penting...... cabut! enjin dihidupkan dan dengan pantas Itam menekan pedal minyak, memecut meninggalkan tempat berkenaan tanpa menoleh ke belakang. Semenjak itu Itam tak pernah pergi ke Jambatan Sungai Sedili Kecil lagi untuk memancing. Suara melolong yang menyeramkan itu masih terngiang-ngiang lagi di telinga Itam.... mungkinkah hantu, mungkinkah jembalang?

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^